Sunday, February 21, 2010

Rumah terbuka kukuhkan konsep 1Malaysia






PADA 20 Februari lalu, kami penghuni dari Kampung Kasippilay, Kuala Lumpur yang terdiri daripada kaum India, Tionghua, Melayu, Bajau, Iban dan lain-lain mengunjungi Kampung Baru Pandamaran, Klang, Selangor bersempena dengan perayaan majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina 2010 peringkat nasional.

Kunjungan ini memberikan kenangan yang sangat mendalam kepada kami dan menambah keyakinan bagi memperkukuhkan gagasan 1Malaysia.

Perjalanan kami dari Jalan Ipoh ke Klang melalui Lebuhraya NKVE cuma mengambil masa 30 minit. Bayaran tol pada hari itu juga kurang kerana syarikat PLUS memberikan tawaran diskaun.

Sampai di Klang, kami juga tidak mengalami kesulitan untuk sampai ke Jalan Chan Ah Choo, tempat majlis rumah terbuka diadakan kerana terdapat papan tunjuk arah yang jelas di sepanjang jalan.

Sampai di Jalan Chan Ah Choo kelihatan suasana meriah dengan pengunjung yang ramai, rumah kediaman, kedai dan rumah berhala dihiasi dengan cantik dan kemas. Antara hiasan menarik adalah banner dalam tulisan Cina yang mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keinginan mereka untuk hidup dalam keadaan yang aman, makmur, sentosa dan harmoni.

Bagi penduduk tempatan di situ, hujan lebat semasa ketibaan Datuk Seri Najib adalah satu petanda yang baik, melambangkan kemakmuran atau dalam bahasa Cina disebut 'ong'. Hujan yang lebat itu juga mengurangkan kepanasan yang terik akibat cuaca kemarau yang berlarutan sejak beberapa minggu.

Hujan lebat itu tidak menghindari orang ramai daripada menyertai majlis hari terbuka yang diadakan pada hari ketujuh Tahun Baru Cina, iaitu hari jadi untuk semua insan mengikut kepercayaan orang Tionghua.

''Amenimomakezu, Kazenimomakezu'' adalah puisi yang dilahirkan oleh Miyazawa Kenji, penyair Jepun yang terkenal. Puisi itu menggambarkan kesungguhan bagi penyair untuk mencapai hasrat meskipun dalam suasana yang penuh dengan ribut dan hujan.

Dalam ucapan pada majlis itu, Datuk Seri Najib berkata, ''hujan no problem, hujan lebat pada orang Tionghua adalah ong.'' Datuk Seri Najib juga menegaskan tindakan yang dilakukan oleh segelintir kecil pelampau dan anasir-anasir jahat ke atas gereja dan masjid baru-baru ini menghampakan gagasan 1Malaysia. Namun kata beliau, ''jangan kita kecewa dengan insiden-insiden oleh segelintir golongan pelampau itu.''

Kami sungguh terhibur dengan tarian muhibah, tarian singa dan persembahan oleh artis tempatan seperti Ning Baizura.

Kami juga tertarik dengan cara hidup penduduk tempatan, mereka sungguh mesra dan muhibah kerana sudi menyambut tetamu luar dengan hati yang mesra, sudi menunjuk jalan dan tidak bosan untuk memberikan maklumat tentang sejarah perkembangan Kampung Baru Pandamaran.

Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada penduduk kampung Baru Pandamaran, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta pihak-pihak yang berkenaan atas usaha mereka menjayakan majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina 2010 yang bertemakan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

GOH HOE HOE

Kampung Kasippilay, KL

1Malaysiahttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

No comments:

Post a Comment